Friday, 11 May 2018

Punca dan cara mengatasi sakit gigi ketika hamil | Madame

Assalammualaikum semua,

Di kala kandungan madam memasuki minggu ke 31, madam mula sakit gigi. Memang sebelum2 ni gigi madam kerap berdarah terutamanya semasa memberus gigi. Pemeriksaan awal gigi masa trimester kedua, memang ada. Tapi biasalah kita ni, selagi tak sakit memang ambil ringan ja kan.😅 

Sampai la tak tahan sakit, asyik nyut3 ja, lelangit bengkak, nak makan susah, kepala pun sakit, badan pun lemah macam nak demam ja, terus madam ke klinik.

Rupanya, ada sebab kenapa ibu hamil tak dapat dipisahkan dengan sakit gigi. Di sini, madam kongsikan hasil pembacaan madam okeh!

Punca dan cara mengatasi sakit gigi ketika hamil


Apabila mengandung, perubahan paras hormon estrogen dan progesteron meningkat. Peningkatan paras hormon-hormon ini mengakibatkan kesihatan gusi terjejas di mana pengumpulan plak (sisa-sisa makanan yang melekat di celah-celah gusi dan gigi akibat daripada tidak memberus gigi dengan berkesan) menyebabkan keradangan gusi (gingivitis). Jika tidak dirawat, penyakit ini akan menjadi peringkat yang lebih serius iaitu periodontitis.


Gingivitis dan Periodontitis

Gingivitis merupakan penyakit gusi berbalik bermakna apabila rawatan dilakukan, keadaan gusi kembali normal. Punca penyakit ini ialah plak. Plak mengandungi bakteria yang mengeluarkan toksin dan merosakkan struktur tisu yang menyokong gigi termasuklah gusi. 

Tanda-tandanya termasuklah gusi berdarah ketika memberus gigi, gusi membengkak dan warna gusi kemerah-merahan tanda keradangan. Keadaan ini menjadi lebih teruk jika sudah mempunyai penyakit ini sebelum mengandung. Dengan perkataan lain, ibu hamil mengalami keradangan gusi yang lebih serius jika dibiarkan tanpa rawatan.

Jadi, rupanya sakit gigi madam ni disebabkan plak pada gigi. Madam kena akui cara memberus gigi yang betul tidak dipraktikkan dengan bersungguh.😅

Jika lambat menerima rawatan, gingivitis akan menjadi penyakit gusi yang lebih teruk iaitu ‘periodontitis’.

Periodontitis mengakibatkan kehilangan tulang yang menyokong gigi dan merupakan proses yang tidak berbalik. (Apabila rawatan dilakukan, gusi dan tulang tidak menjadi seperti asal). Ciri-cirinya ialah gigi kelihatan panjang, gusi menyurut, gigi menjadi jarang, bau mulut, gigi ngilu (sensitive) dan gigi menjadi semakin longgar.

Ibu hamil juga terdedah mengalami keradangan gusi yang lebih serius iaitu epulis (ketumbuhan) gusi ketika mengandung (pregnancy epulis). 

Tanda-tandanya ialah kebengkakan pada permukaan gusi dan bersaiz besar (boleh mencecah sehingga 1 cm jika dibiarkan tanpa rawatan). Ianya mudah berdarah dengan banyak terutama ketika memberus gigi. Ia berkait rapat dengan tahap kebersihan mulut yang tidak memuaskan di mana terdapatnya mendapan karang dan plak yang banyak di bawah gusi. Epulis ini tidaklah berbahaya seperti penyakit barah kerana ianya bersifat benign (bukan kanser).


Penyakit Gusi dan Risiko untuk melahirkan bayi pra-matang dan bayi kurang berat.

Kajian menunjukkan ibu hamil dimana mempunyai gigi bermasalah mungkin terdedah kepada risiko-risiko seperti melahirkan bayi pra-matang (bayi tidak cukup bulan) iaitu melahirkan anak sebelum minggu ke 37 kandungan dan berat bayi lebih rendah daripada normal/kebiasaan. Ini mungkin terjadi daripada jangkitan bakteria yang memasuki ke dalam aliran darah melalui gusi dan bergerak ke dalam rahim. Setibanya di rahim, bakteria ini akan menyebabkan pengeluaran sejenis bahan perantara kimia iaitu prostaglandin yang mempercepatkan pengecutan rahim dan kelahiran bayi pada masa yang lebih awal dari yang sepatutnya.


Risiko mendapat Diabetes dan Penyakit Gusi

Wanita mengandung juga berisiko untuk mendapat “Gestational Diabetes” iaitu Kencing Manis ketika mengandung (GDM). Kencing Manis adalah faktor risiko untuk menjadikan penyakit gusi bertambah teruk akibat daripada sistem pertahanan badan yang rendah dan lemah.


Rawatan dan Pencegahan

Ibu hamil dinasihati untuk berjumpa doktor gigi pada fasa trimester pertama (usia kandungan satu hingga tiga bulan) bagi memeriksa status kesihatan mulut. Di Malaysia, setiap ibu hamil dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan mulut sebagai langkah pencegahan bagi mengelak masalah yang mungkin akan timbul ketika mengandung.

Ibu hamil seharusnya mengamalkan cara penjagaan kesihatan mulut yang betul dan berkesan. Dinasihatkan ibu hamil perlu memberus gigi dengan berkesan sekurang-kurangnya 2 atau 3 kali sehari, memflos gigi dan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Rawatan-rawatan seperti penskaleran (rawatan membuang karang dan plak) dan pendebridmen akar (rawatan membuang karang di permukaan akar di bawah gusi) boleh dilakukan pada fasa trimester kedua (usia kandungan 4 hingga 6 bulan). Bagaimanapun sekiranya usia kandungan mencecah 7 hingga 9 bulan (fasa trimester ketiga), hanya rawatan kecemasan sahaja (contohnya seperti kesakitan gigi atau gusi bernanah) yang dilakukan.

Pengambilan x-ray seboleh-bolehnya dielakkan kecuali bagi kes-kes kecemasan yang memerlukan penyiasatan lanjut. Bagi yang mengalami “pregnancy epulis”, doktor akan menasihatkan pesakit agar menjaga kebersihan mulut. Biasanya bengkak ini akan mengecil sesudah melahirkan anak. Pembedahan akan dilakukan jika bengkak semakin membesar dan mengganggu pengunyahan atau mengalami kesukaran ketika memberus gigi.

Jadi,

Ibu hamil tidak boleh mengambil mudah dengan kesihatan mulut. Ibu perlulah menjalani pemeriksaan yang berkala bagi mengelakkan sebarang masalah pergigian ketika mengandung. 

Diet yang seimbang juga haruslah diamalkan. Ibu bolehlah mengambil zat-zat tambahan seperti Vitamin C, asid folik dan Vitamin B12 seperti yang disarankan oleh doktor.

Sumber : MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia


Madam dah serik tau! 3 kali mengandung sebelum ni tak pernah sakit gigi. Kali ni, memang memberi pengalaman dan pengajaran sungguh la😅

Kalau nak tau suplemen Shaklee yang mana madam amalkan untuk sakit gigi ni, boleh terus wasap madam okeh!😉

Moga bermanfaat sharing madam kali ni.

Salam sayang dari Madame,
Azwani Aziz

0 comments :

Post a Comment